Bab 4 : RUMUSAN DAN PENUTUP

Akhirnya, penulis berharap agar penulisan ini akan dapat membangkitkan semangat di kalangan pembaca untuk mencontohi ketabahan para saintis Muslim dalam menuntut ilmu dan meningkatkan kepakaran dalam bidang masing-masing. Kehebatan, kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan tokoh saintis Muslim adalah hasil pengorbanan dan penerimaan pendidikan yang mantap. Dalam konteks pengorbanan, rangkap pantun Melayu ada mengatakan;

berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian,

bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Kejayaan tidak akan datang bergolek, tetapi kita yang harus menggembleng usaha dan tenaga di samping berserah kepada Allah untuk mencapai kegemilangan sains yang suatu masa dahulu dipelopori oleh orang Islam.

Bab 4 : RUMUSAN DAN PENUTUP

Pendidikan awal Ibn Abi ‘Usaybi‘ah menyamai pendidikan awal Ibn Rushd yang bermula di rumah memandangkan bapanya adalah tokoh oftalmologi di Damsyik. Demi mencapai kepuasan dalam pencarian ilmu dan pengalaman, beliau mengembara ke Kaherah yang menjadi pusat ilmu pada masa tersebut untuk belajar ilmu perubatan sambil berkhidmat di sebuah hospital di sana. Pengalaman berkhidmat sebagai doktor di jabatan rawatan mata di Hospital al-Nāsiri yang terletak di Kaherah membuka peluang kepada Ibn Abi ‘Usaybi‘ah untuk meningkatkan pengetahuannya tentang perubatan. Dalam masa yang sama, beliau berpeluang mendalami ilmu bahasa sebelum ditawarkan berkhidmat sebagai doktor peribadi kepada gabenor Sarkhad, satu jawatan yang melambangkan kecemerlangan pencapaian Ibn Abi ‘Usaybi‘ah dalam bidang perubatan.

Bab 4 : RUMUSAN DAN PENUTUP

Pendidikan ‘Abd al-Latif al-Baghdādi pula adalah gabungan daripada pengajian asas di tempat kelahirannya, Baghdad dan pengajian ilmu falsafah dan sains di beberapa pusat pengajian yang dilawatinya. Meskipun ‘Abd al-Latif al-Baghdādi tidak dilahirkan dalam keluarga ilmuwan seperti Ibn Rushd, kemudahan pendidikan yang terdapat di Baghdad dan kawasan sekitarnya membolehkan beliau menguasai dua bidang utama, iaitu bahasa dan perubatan. Apa yang membezakan beliau daripada Ibn Rushd ialah siri pengembaraan ilmiah yang melibatkan kota Baghdad, Mosul, Damsyik, Jerusalem, dan Kaherah berbanding Ibn Rushd yang lebih tertumpu pengajiannya di bumi Andalus. Hasil kajian, pengembaraan, dan perbincangan ilmiah yang dihadirinya membolehkan ‘Abd al-Latif al-Baghdādi menulis kritikan membina terhadap Ibn Sina yang berakhir dengan kesimpulan tentang kebatilah ilmu alkemi.

Bab 4 : RUMUSAN DAN PENUTUP

Latar belakang pendidikan Ibn Rushd banyak didokong oleh pengaruh dalam keluarga khasnya ayah dan datuknya yang merupakan ilmuwan fikah terkenal di Andalus. Meskipun Ibn Rushd tidak banyak mengembara ke kota ilmu yang lain, keadaan kota Cordova sebagai pusat keilmuan sudah memadai baginya untuk menimba pelbagai khazanah ilmu. Kecerdasan Ibn Rushd jelas terserlah menerusi kemampuannya menguasai dua bidang utama, iaitu bidang perundangan Islam yang melayakkan beliau menjawat jawatan ketua kadi dan bidang perubatan hingga dilantik sebagai doktor peribadi kepada pemerintah Andalus. Ketokohan Ibn Rushd dalam bidang perubatan terbukti dengan kemampuan beliau mengarang kitab al-Kulliyyāt yang dianggap komentar terbaik bagi karya Aristotle oleh sarjana Barat.

 

Bab 4 : RUMUSAN DAN PENUTUP

Pendidikan al-Biruni seawal umur lapan tahun di tempat kelahirannya, Khawarizm menjadi asas yang kuat untuk beliau muncul sebagai tokoh sains terkemuka. Keupayaan beliau mendalami bahasa Sanskrit dan budaya masyarakat India turut dijelmakan menerusi beberapa karya beliau yang berkaitan dengan benua India. Hal sedemikian menunjukkan betapa pentingnya penguasaan bahasa terutamanya bahasa pengantar sesuatu ilmu dan masyarakat yang ingin dikaji. Hubungan baik antara al-Biruni dengan pemerintah kerajaan Ghaznawiyyah, iaitu Sultan Mahmud al-Ghaznawi memberi peluang kepada beliau untuk menjelajah ke seluruh benua India. Peluang menjelajah ke seluruh benua India digunakan dengan sebaiknya oleh al-Biruni untuk menjalankan kajian dan pemerhatian saintifik terhadap benua dan masyarakat India, satu lagi bentuk pendidikan sepanjang hayat.

Bab 4 : RUMUSAN DAN PENUTUP

Berbeza keadaannya dengan Ibn Sina yang membesar dalam keluarga yang berada hingga berpeluang mendapat pendidikan mantap daripada guru yang ditugaskan khas mengajarnya di rumah. Selain daripada itu, Ibn Sina bijak menggunakan segala peluang yang ada untuk menambah ilmu beliau termasuk menggunakan perpustakaan diraja dan mempelajari ilmu sains dan matematik secara bersendirian. Berbekalkan kecerdasan akal dan kesungguhan yang berterusan, Ibn Sina berjaya muncul sebagai pakar perubatan dalam masa yang singkat. Sungguhpun begitu, beliau tidak menjadikan perubatan sebagai profesion, malah kedudukan yang tinggi di sisi pemerintah dan kesibukan bertugas sebagai perdana menteri tidak menghalang beliau daripada menganjurkan kelas teori perubatan pada waktu malam.

Bab 4 : RUMUSAN DAN PENUTUP

Keunikan sejarah pendidikan al-Razi terserlah pada kegigihannya menimba ilmu walaupun hanya memulakan pengajian sesudah melewati usia 40 tahun. Hasil usaha gigih dan minat yang mendalam terhadap ilmu perubatan membuatkan beliau mampu mencapai kejayaan dalam bidang perubatan hingga diiktiraf sebagai Galen Arab. Ringkasnya, sejarah pendidikan al-Razi membuktikan bahawa faktor usia yang lanjut bukan penghalang kepada proses pendidikan.

Kehebatan pendidikan al-Farabi pula tergambar menerusi siri pengembaraan beliau yang panjang dalam usaha mencari ilmu dan pengalaman. Lantaran minat yang mendalam terhadap ilmu, al-Farabi memilih corak kehidupan yang sederhana dan tidak gemar mendampingi pembesar kecuali pada akhir hayatnya. Kegigihan al-Farabi menimba ilmu jelas tergambar menerusi siri pengembaraan ilmiah beliau yang melibatkan pusat-pusat keilmuan, iaitu Fārāb, Marw, Baghdad, Harrān, Constantinople, Damsyik, dan Kaherah.

Bab 4 : RUMUSAN DAN PENUTUP

Jadual 4.2       Paparan ringkas sejarah pendidikan tokoh saintis Muslim dari aspek institusi pengajian dan kaedah pembelajaran

Nama

Saintis

Institusi Pengajian Kaedah Pembelajaran
Al-Razi rumah, sekolah, dan hospital berguru dan soal-jawab
Al-Farabi rumah, sekolah (pengajian asas) dan sekolah falsafah mengembara, berguru, dan berdampingan dengan guru.
Ibn Sina rumah dan perpustakaan berguru, belajar sambil bekerja, belajar sendiri, pemerhatian terhadap pesakit, amali perubatan, perbahasan, dan surat-menyurat.
Al-Biruni rumah dan istana (rumah sarjana) berguru (pembelajaran khusus), perbincangan, mengembara, dan surat-menyurat
Ibn Rushd rumah dan masjid berguru
‘Abd al-Latif al-Baghdādi rumah, masjid dan sekolah (pengajian hadis dan fikah) berguru, mengembara dan perbincangan ilmiah
Ibn Abi Usaybi‘ah rumah, sekolah (pengajian asas), dan hospital berguru dan latihan praktik di hospital.

Setelah meneliti jadual 4.2, penulis membuat beberapa kesimpulan seperti berikut:

(1)        Rumah adalah insitusi pengajian yang pernah digunakan oleh kesemua tokoh saintis Muslim tersebut untuk menuntut ilmu.

(2)        Sekolah adalah institusi yang banyak digunakan untuk tujuan pengajian peringkat asas yang melibatkan pengajian bahasa, asas agama, dan asas pengiraan.

(3)        Kesemua tokoh saintis Muslim tersebut menggunakan kaedah berguru dalam mempelajari pelbagai ilmu termasuk perubatan.

(4)        Kaedah mengembara ke tempat beradanya tokoh ilmuwan digunakan oleh tokoh saintis Muslim yang merasakan tidak berpada dengan menetap di satu pusat keilmuan tertentu.

Bab 4 : RUMUSAN DAN PENUTUP

Sejarah pendidikan tokoh saintis Muslim abad keempat hingga abad ketujuh Hijrah melibatkan pelbagai aspek, iaitu ilmu yang dipelajari, lokasi pengajian yang terlibat, institusi pengajian yang dihadiri, dan kaedah pembelajaran yang digunakan. Paparan ringkas sejarah pendidikan tokoh saintis Muslim yang terdiri daripada al-Razi, al-Farabi, Ibn Sina, al-Biruni, Ibn Rushd, ‘Abd al-Latif al-Baghdādi, dan Ibn Abi Usaybi‘ah dari aspek ilmu yang dipelajari dan lokasi pengajian yang terlibat ditunjukkan dalam jadual 4.1.

Jadual 4.1       Paparan ringkas sejarah pendidikan tokoh saintis Muslim dari aspek ilmu yang dipelajari dan lokasi pengajian yang terlibat

 

Nama

Saintis

Ilmu Yang Dipelajari Lokasi Pengajian
Al-Razi kimia, falsafah, sastera, ilmu al-iksir, dan perubatan. Baghdad dan Rayy
Al-Farabi bahasa, fikah, hadis, tafsir, asas pengiraan, muzik, falsafah, sains, mantik, tasawuf, dan perubatan.

 

Fārāb, Marw, Baghdad, Harrān, Constantinople, Damsyik, dan Mesir
Ibn Sina al-Quran (hafaz), sastera, matematik, fikah, falsafah, mantik, sains tulen, perubatan, dan metafizik. Bukhara.
Al-Biruni biologi, matematik, astronomi, perubatan, sains India, dan bahasa (Arab, Parsi, Sanskrit, Siryani, dan Greek). Khawarizm, Jurjān, Turkistan, Utara Iran, dan India Barat.
Ibn Rushd fikah, usul fikah, tauhid, falsafah, sains, dan perubatan. Cordova dan Seville,
‘Abd al-Latif al-Baghdādi al-Quran (hafaz), hadis, bahasa, sastera, fikah, faraid, sains, aritmetik, kimia, perubatan, falsafah, dan alkemi. Baghdad, Mosul, Damsyik, Jerusalem, dan Kaherah.
Ibn Abi Usaybi‘ah bahasa, perubatan, dan botani. Damsyik dan Kaherah.

 

Setelah meneliti jadual 4.1, penulis membuat beberapa kesimpulan seperti berikut:

(1)        Pendidikan bahasa amat penting sebagai asas yang membolehkan seseorang pelajar menguasai pelbagai bidang ilmu di peringkat berikutnya.

(2)        Kesemua tokoh saintis Muslim tersebut mempelajari ilmu perubatan meskipun sebahagian mereka tidak menjadikannya sebagai profesion.

(3)        Kesemua tokoh saintis mendapat pendidikan awal yang mantap di tempat kelahiran masing-masing sebelum berhijrah ke tempat-tempat lain.

(4)        Ibu-ibu kota kerajaan Islam seperti Baghdad, Damsyik, Kaherah, dan Cordova turut berfungsi sebagai pusat keilmuan dan pengajian tinggi.

 

Bab 4 : RUMUSAN DAN PENUTUP

Era kegemilangan tamadun Islam turut menyaksikan bahasa Arab mencapai kemuncaknya sebagai bahasa pengantar ilmu di Timur dan Barat. Bahasa Arab adalah bahasa pengantar rasmi di semua pusat pengajian tinggi yang terletak dalam wilayah kekuasaan Islam seperti Baghdad, Damsyik, Kaherah, dan Cordova. Sumber-sumber ilmu sains dan falsafah dalam bahasa Arab bukan sahaja dikagumi oleh sarjana Islam malah sarjana Barat turut menyatakan rasa kagum yang tinggi terhadapnya. Sehubungan dengan itu, Fuat Sezgin (2006: 12) menukilkan kekaguman J. W. Goethe (m. 1832 M) terhadap karya ilmuwan Arab-Islam dengan mengatakan:

Sekiranya kita mahu menghayati hasil-hasil para pemikir agung tersebut, kita perlu menimurkan diri kerana timur tidak akan datang menemui kita. Meskipun karya terjemahan merupakan perkara yang terpuji untuk menarik kita dan membentangkan jalan di hadapan kita, tetapi telah ternyata daripada segala faham yang terdahulu bahawa bahasa secara khususnya memainkan peranan yang penting dalam karya-karya ini. Maka siapakah yang tidak teringin untuk mengenali perbendaharaan ini dalam sumbernya yang asli?