BAB 6 : RUMUSAN

Keadaan yang sama turut dialami oleh tokoh saintis Muslim yang muncul pada era kegemilangan ilmu dalam tamadun Islam khasnya abad keempat Hijrah hingga abad ketujuh Hijrah (10-13 M). Hal ini demikian kerana catatan sejarah menyebut bahawa al-Rāzi berasal dari Rayy (Iran), al-Fārābi berasal dari Fārāb (Turkistan), Ibn Sinā berasal dari Bukhara (Uzbekistan), al-Biruni berasal dari Khawārizm (Uzbekistan), Ibn Rushd berasal dari Cordova (Andalus), ‘Abd al-Latif al-Baghdādi berasal dari Baghdad (Iraq), dan Ibn Abi Usaybi‘ah pula berasal dari Damsyik. Sekali lagi kebangkitan tamadun Islam tidak berpusat di Semenanjung Tanah Arab bahkan turut menganjur ke negara yang terletak di Asia Tengah dan benua India.

Dari sudut bidang ilmu yang dipelajari, kebanyakan saintis Muslim menjuruskan pengajian peringkat tinggi mereka dalam bidang sains dan falsafah. Terdapat juga saintis Muslim yang mendalami ilmu syariah dan kemudiannya mempelajari ilmu sains hingga menjadi terkenal dalam bidang sains. Contohnya Ibn Rushd yang dibesarkan dalam keluarga yang menguasai ilmu fikah dan perundangan tetapi akhirnya melibatkan diri dalam pengajian ilmu falsafah dan sains. Hasil kesungguhan dan kegigihan yang berterusan Ibn Rushd berjaya menguasai ilmu perubatan dan dikenali sebagai tokoh dalam bidang tersebut. Selain itu, terdapat juga saintis Muslim yang mendalami bidang bahasa terlebih dahulu seperti ‘Abd al-Latif al-Baghdādi tetapi kemudiannya beralih mempelajari ilmu perubatan hingga menjadi terkenal pula sebagai seorang tokoh perubatan. Gambaran ketokohan para ilmuwan Islam pada era kegemilangan ilmu dalam tamadun Islam menjadi bukti jelas kejayaan institusi pengajian syariah dan sains dalam mendidik generasi pelajar Muslim mencapai tahap keilmuan yang tinggi.

BAB 6 : RUMUSAN

Pendidikan saintis Muslim di peringkat tinggi melibatkan pusat pengajian tinggi seperti Bayt al-Hikmah di Baghdad dan Dār al-‘Ilm di Kaherah yang mempunyai perpustakaan yang besar dan lengkap dengan pelbagai kemudahan. Memandangkan kebanyakan saintis menceburi bidang perubatan, maklumat tentang pengajian saintis Muslim peringkat ini banyak diperoleh menerusi kajian tentang pengajian pelajar perubatan.

Pengajian ilmu perubatan biasanya diadakan di hospital dan sekolah perubatan. Bentuk pengajian saintis Muslim di peringkat ini bersifat fleksibel dan tidak terhad kepada bentuk pengajian tertentu seperti yang diamalkan di peringkat asas dan menengah. Para pelajar di peringkat ini bebas memilih bentuk pengajian yang dikehendaki dan sesuai dengan kemampuan mereka seperti menghadiri kelas pengajian formal di hospital atau sekolah perubatan, belajar secara bersendirian (tanpa dibantu oleh guru) di perpustakaan dan juga melalui sesi perbincangan (munazarah) sama ada secara lisan atau bertulis.

Kecemerlangan budaya ilmu dan kepesatan perkembangan institusi pengajian yang terdapat pada era kegemilangan ilmu dalam tamadun Islam membawa kepada munculnya ramai tokoh ilmuwan Islam dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Berdasarkan asal-usul tokoh ilmuwan Islam dalam pengajian ilmu syariah, iaitu Ibn Qutaybah al-Dinawari dari Baghdad (Iraq), al-Tabari dari Tabaristan (Iran), Ibn Hazm dari Cordova (Andalus/Sepanyol), dan al-Ghazāli dari Tus (Khurasan) jelas menunjukkan kepada kepesatan perkembangan ilmu dan institusi pengajian yang berlangsung di seluruh pelosok dunia Islam pada ketika itu. Siri pengembaraan para ilmuwan Islam ke kota Baghdad, Damsyik, Kaherah, dan Cordova secara tidak langsung menunjukkan tentang kedudukan pusat pengajian yang dinaungi oleh kerajaan Islam yang kuat dan stabil di samping pemerintahnya yang berminat dan menyokong perkembangan ilmu.

BAB 6 : RUMUSAN

Satu lagi institusi pengajian sains yang tidak kurang pentingnya ialah rumah sarjana sains. Pengajian ilmu sains terutama perubatan di institusi ini lebih berbentuk pengajian secara teori dan tidak formal kerana sesi pengajiannya diadakan oleh guru yang juga tuan rumah tersebut pada waktu yang terluang dan bebas daripada kesibukan tugas rasmi. Terdapat juga sebahagian rumah sarjana sains yang diwakafkan untuk dijadikan sekolah perubatan yang menyediakan pengajian perubatan secara formal.

Kajian mengenai latar belakang pendidikan beberapa tokoh saintis Muslim banyak membantu usaha menyelami rahsia kejayaan mereka yang tersirat di sebalik catatan biografi dan segala maklumat yang berkenaan. Perbezaan tempat para saintis Muslim menerima pendidikan jelas menunjukkan bahawa terdapat banyak pusat pengajian ilmu sains di dunia Islam seperti di Rayy, Fārāb, Jurjan, Ghaznah, Cordova, Baghdad, Damsyik, dan Kaherah. Keadaan ini mendorong kebanyakan saintis Muslim mengembara ke luar kota kelahirannya untuk mendalami ilmu sains di tempat beradanya para tokoh saintis yang terkenal itu.

Proses pendidikan saintis Muslim melibatkan tiga peringkat pendidikan yang utama iaitu peringkat asas, menengah, dan tinggi. Pendidikan peringkat asas yang biasanya berpusat di kuttab dan masjid melibatkan pengajian asas-asas agama, pelajaran al-Quran (bacaan dan penghafazan), kemahiran membaca, menulis dan mengira. Ini bermakna para saintis Muslim di peringkat asas menerima pendidikan yang sama dengan para pelajar dalam bidang yang lain.

Pendidikan saintis Muslim di peringkat menengah tidak banyak dibincangkan oleh para pengkaji sejarah pendidikan Islam. Pendidikan peringkat menengah ini sememangnya wujud dari sudut kurikulum pendidikan dan bentuk pengajiannya walaupun tiada institusi khusus yang mengendalikan pendidikan peringkat tersebut atau peranannya telah diambil alih oleh institusi kuttab. Walau bagaimanapun, kurikulum pendidikan di peringkat ini lebih meluas berbanding kurikulum kuttab kerana melibatkan lebih banyak bidang ilmu termasuk matematik, falsafah, mantik, perubatan, dan astronomi.

BAB 6 : RUMUSAN

Pembentukan sesebuah kurikulum pendidikan dapat menggambarkan kebudayaan dan matlamat sebuah negara. Sebuah negara kapitalis akan melahirkan generasi yang berfahaman kapitalis dan sebuah negara sosialis akan melahirkan rakyat berfahaman sosialis. Begitu juga halnya dengan negara Islam yang akan melahirkan rakyat yang berfahaman Islam. Bagi mencapai hasrat tersebut, tentulah tidak menjadi halangan kepada pemerintah atau masyarakat kerana pembentukan sesebuah kurikulum biasanya dianggotai oleh golongan cerdik pandai dan ahli profesional. Mereka terdiri daripada ahli falsafah, pendidik, ahli politik, ahli perniagaan, dan sebagainya. Justeru, tidaklah sukar dan mustahil bagi sesebuah negara Islam atau masyarakat Islam yang benar-benar meyakini bahawa Islam sebagai suatu cara hidup yang unggul dan sesuai dengan fitrah manusia tidak berkemampuan untuk menghasilkan kurikulum yang bersepadu. Kurikulum yang diindoktrinasi daripada roh al-Quran dan al-Sunnah yang menjamin pembentukan peribadi dan watak yang sempurna bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Proses pendidikan para saintis Muslim banyak dibantu oleh kewujudan pelbagai institusi pengajian sains yang menawarkan kemudahan mendapatkan maklumat sains sama ada secara pengajian, rujukan atau sesi perbincangan. Antara institusi pengajian sains utama yang terdapat sekitar era kegemilangan tamadun Islam khasnya abad keempat hingga abad ketujuh Hijri ialah perpustakaan, hospital, sekolah perubatan, balai cerapan (observatori), dan rumah sarjana sains. Penggunaan perpustakaan terutamanya perpustakaan umum sebagai pusat pengajian dan tempat membuat rujukan banyak membantu perkembangan pendidikan para saintis Muslim. Selain daripada itu, terdapat juga perpustakaan semi-khusus dan perpustakaan khusus yang mempunyai pengunjung yang lebih terhad.

Pengajian ilmu perubatan yang begitu mendapat perhatian daripada para saintis banyak berpusat di hospital dan sekolah perubatan. Kedua-dua institusi ini menyediakan kemudahan pengajian secara formal termasuk memberi latihan amali perubatan. Kuliah perubatan biasanya dikendalikan oleh tokoh perubatan terkenal yang juga merupakan ketua doktor di institusi berkenaan. Kebanyakan hospital dan sekolah perubatan dibiayai melalui wakaf yang dibuat oleh pemerintah kerana kos penyelenggaraan dan pengurusannya yang tinggi.

Para saintis Muslim yang meminati bidang astronomi pula berpeluang mempelajari dan membuat kajian astronomi di balai cerap atau lebih dikenali sebagai observatori. Pembinaan observatori yang boleh digunakan sebagai institusi pengajian astronomi melibatkan kos yang amat tinggi menjadikan kelangsungan sesebuah observatori banyak bergantung kepada komitmen pemerintah dan kestabilan politik sesebuah kerajaan.

BAB 6 : RUMUSAN

Perbincangan beberapa ilmuwan mengenai kewujudan ilmu kalam dalam kurikulum pendidikan madrasah diketengahkan untuk membuktikan bahawa walaupun terdapat pandangan yang menafikan bidang ilmu klasik, sekurang-kurangnya ilmu ini tidak melibatkan ilmu kalam yang menggabungkan dalil naqliyyah (berasaskan wahyu) dan ‘aqliyyah (berasaskan akal). Sehubungan dengan itu, penulis menyimpulkan bahawa tiada siapa yang menafikan kewujudan hasil karya failasuf Muslim seperti Ibn Sinā, al-Ghazāli, dan Ibn Rushd melebihi hasil karya tokoh teologi Muslim seperti al-Bāqillāni, Abu Ya‘lā, dan Fakhr al-Din al-Rāzi. Seandainya institusi madrasah hanya menawarkan pendidikan tradisi agama dan bahasa Arab, mengapakah karya ilmu kalam atau teologi rasional masih berkembang pada abad ke-5 H/11 M ketika pesatnya perkembangan institusi tersebut di dunia Islam?

Menyedari hakikat sistem sekularisme dan dualisme dalam pendidikan yang diperkenalkan oleh Barat gagal menyediakan pendidikan yang sewajarnya kepada individu dan masyarakat, maka amat perlu bagi umat Islam kembali kepada kitab suci al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w sebagai sumber utama bagi menghasilkan teori pendidikan Islam. Justeru, penulis mendapati kurikulum bersepadu menurut Islam ialah setiap jenis ilmu pengetahuan sama ada yang bersifat teori atau amali, sama ada berbentuk keduniaan atau keakhiratan adalah bersepadu dan saling kait-mengait. Kedua-dua jenis ilmu tersebut membekalkan unsur akidah, syariah, dan akhlak yang saling mempengaruhi bagi mendorong pemiliknya supaya beriman kepada Allah S.W.T di samping melakukan kebaikan untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Secara langsung, unsur akidah, syariah, dan akhlak menjadi inti atau asas kepada ilmu fardu ain. Ketiga-tiga unsur tersebut juga terlibat dalam ilmu fardu kifayah atau ilmu yang berunsur keduniaan tetapi penglibatannya secara tidak langsung. Matlamat ilmu keduniaan misalnya ilmu tentang bahasa, sastera, matematik, geografi, ekonomi, dan sains bukan semata-mata untuk memudahkan komunikasi dan mencapai kemajuan keduniaan sahaja. Malah lebih daripada itu, semua ilmu itu bertujuan untuk memupuk keimanan yang sempurna. Kesemua bidang ilmu tersebut boleh dikaitkan dengan unsur Islam yang telah pun diperjelaskan oleh al-Quran dan al-Sunnah.

BAB 6 : RUMUSAN

Institusi masjid, madrasah, dan perpustakaan yang mewakili pendidikan peringkat tinggi pula disusun dalam bentuk yang berbeza dengan institusi pendidikan peringkat tinggi yang dibincangkan secara kronologi menurut sejarah perkembangannya. Hal ini demikian kerana setelah kemunculan institusi madrasah, kemudahan perpustakaan turut disediakan sama halnya dengan institusi masjid. Perkembangan ini melibatkan peranan para pemerintah dan ulama dalam usaha menjayakan tradisi keilmuan sekaligus mendapat sokongan politik. Para pemerintah bukan sahaja memberi sokongan kepada perkembangan ilmu dan pertumbuhan institusi pendidikan, malahan mereka sendiri adalah ulama dan ilmuwan. Sifat keterbukaan yang ada di kalangan pemerintah telah menyemarakkan perkembangan ilmu pengetahuan dan penginstitusiannya dengan lebih pesat lagi.

Usaha pengklasifikasian ilmu yang disusun dalam bentuk kronologi menurut pandangan tokoh ulama dan cendekiawan berdasarkan abad yang melatari kehidupan mereka sehingga abad ke-5 H/11 M dapat dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu (1) ilmu syariah, (2) ilmu klasik (‘ulum al-Qudāmā’/al-awā’il) atau ilmu yang berasal daripada tamadun Yunani, Parsi dan sebagainya, dan (3) ilmu sastera (adab). Usaha pengklasifikasian ilmu ini jelas menggambarkan kesungguhan dan kegigihan para ilmuwan Islam dalam menguasai pelbagai bidang ilmu dan ketinggian budaya membaca yang hidup subur dalam jiwa mereka sebagaimana yang diterapkan dalam setiap peringkat pendidikan yang dilalui sebelum ini.

Sepanjang penelitian penulis mengenai kurikulum pendidikan yang dilaksanakan di institusi pendidikan peringkat tinggi, masih belum ada dokumen bertulis yang mencatatkan isi kurikulumnya secara terperinci. Namun, catatan George Makdisi mengenai dokumen wakaf membuktikan bahawa ilmu syariah mendominasi pengajian di madrasah begitu juga dengan masjid dan masjid khan sekitar abad ke-3 hingga 5 H (abad ke-9 hingga11 M).

BAB 6 : RUMUSAN

Sistem dan kurikulum pendidikan peringkat asas di kuttāb yang dilaksanakan sekitar masjid juga berjaya mempengaruhi kehidupan dan keperibadian para pelajarnya. Kenyataan ini jelas melalui paparan biografi ulama yang mampu menghafaz al-Quran dalam masa yang singkat dan menulis hadis ketika usia muda. Penguasaan mereka dalam pelbagai bidang ilmu secara mendalam sebelum menjangkau usia 15 tahun mengukuhkan lagi kenyataan ini. Mata pelajaran yang ditawarkan juga membuktikan wujudnya kesepaduan ilmu dalam pelaksanaan kurikulum di peringkat ini. Walaupun pendidikan asas agama diutamakan, mata pelajaran bahasa Arab, tata bahasa, dan aritmetik turut ditawarkan. Terdapat juga kuttāb yang mempunyai kemantapan kurikulumnya sehingga pendidikan peringkat menengah telah tersedia sepanjang mereka mengikuti pendidikan di institusi ini.

Cukup jelas bahawa kesan daripada kecemerlangan intelektual yang mewarnai kehidupan masyarakat era kegemilangan tamadun Islam berjaya mencetuskan gerakan untuk membina institusi yang lebih sistematik. Selain masjid, didirikan juga pusat pendidikan yang lain dengan tujuan menjadi tempat untuk mempelajari ilmu syariah dan ilmu yang lain. Malahan, kegiatan ilmiah di pelbagai institusi memperlihatkan wujudnya peringkat dalam pendidikan yang dapat dibahagikan kepada tiga tahap sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini.

Kajian turut mendapati pendidikan peringkat menengah itu wujud walaupun pendekatannya masih lagi di peringkat tanggungjawab dan inisiatif peribadi tanpa naungan pihak tertentu atau peranannya telah diambil alih oleh pengajian di kuttāb. Bagi pelajar yang berjaya menyelesaikan pendidikan di peringkat rendah dan berkeinginan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi, hendaklah memastikan bahawa mereka mempunyai kelayakan untuk tujuan tersebut. Oleh itu, mereka akan menjalani pendidikan tidak formal di bawah bimbingan seorang guru. Kebiasaannya, pendidikan tahap ini disediakan sebagai persediaan awal untuk ke peringkat tinggi walaupun tanpa organisasi yang dapat dibezakan secara jelas. Penulis mendapati kajian mengenainya merupakan suatu yang menarik dan menawarkan satu lapangan penelitian baru.

BAB 6 : RUMUSAN

Dalam kajian tentang beberapa tokoh ulama, penulis mendapati rujukan yang mencatatkan biografi dan latar belakang mereka memberikan sumbangan yang banyak dalam mendapatkan gambaran tentng proses dan peringkat pendidikan yang dilalui. Namun, secara keseluruhannya fokus perbincangan lebih kepada tahap pendidikan mereka di peringkat tinggi sementara maklumat mengenai pendidikan mereka di peringkat rendah amat kurang. Perbincangan mengenai latar belakang pendidikan ulama lebih berbentuk liputan tentang penghijrahan mereka dari satu tempat ke satu tempat atau dari seorang guru ke seorang guru yang lain. Walau bagaimanapun, hasil karya mereka jelas membuktikan kesepaduan kurikulum pendidikan yang melatari latar belakang pendidikan yang mereka lalui. Kedudukan sebagai ulama yang kecenderungannya lebih kepada ilmu syariah tidak menafikan kepakaran dalam bidang ilmu lain yang turut terserlah melalui kepelbagaian hasil karya yang dihasilkan.

Penilaian mengenai sistem dan kurikulum berdasarkan peringkat pendidikan adalah teras perbincangan dalam penulisan ini walaupun peringkat pendidikan ini tidak dapat dilihat dalam bentuk yang ada seperti sekarang. Namun, kewujudannya dapat diperjelaskan melalui paparan biografi pendidikan ulama dan perkembangan institusi pendidikan yang wujud sepanjang tempoh tersebut. Bermula daripada pengajian di kediaman seperti rumah dan istana yang lebih berbentuk khusus, proses pendidikan berkembang kepada pendidikan umum yang diadakan di kuttāb, masjid, dan madrasah. Perkembangan perpustakaan pula yang pada awalnya dibina untuk kegunaan golongan tertentu turut berkembang menjadi perpustakaan umum tanpa meminggirkan secara keseluruhan institusi lain yang dibina bagi tujuan awalnya.

Menerusi kajian ini, jelas menggambarkan wujudnya tingkatan atau tahap pendidikan berdasarkan klasifikasi yang dibincangkan, iaitu pendidikan peringkat rendah, menengah, dan tinggi. Kajian mengenai sistem dan kurikulum pendidikan dinilai dan diteliti menerusi institusi pendidikan bersistematik yang tersusun mengikut peringkat pendidikan. Kenyataan ini jelas membuktikan bahawa pendidikan di kuttāb mewakili pendidikan peringkat rendah, manakala pendidikan di masjid, madrasah dan perpustakaan mewakili peringkat menengah, dan tinggi.

BAB 6 : RUMUSAN

Tegasnya, sumber pemikiran Islam pada era kegemilangannya ialah ajaran Islam yang berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah di samping sumber daripada tamadun bukan Islam yang tidak bercanggah dengan prinsip Islam.

Lantaran dari perkembangan ilmu pengetahuan dan pertumbuhan institusi pendidikan jelas menunjukkan berlakunya polemik antara teologi dengan falsafah, dan agama dengan sains. Proses ini juga melibatkan golongan rasionalis dengan golongan ortodoks agama. Dengan perkataan lain, penginstitusian ilmu pada era keemasan tamadun Islam berjalan melalui beberapa tahap tertentu sehingga munculnya fenomena kelompok tersendiri dalam sejarah umat Islam. Aliran falsafah yang mendokong konsep al-‘ulum yang menggabungkan ilmu wahyu dengan akal dalam epistemologi Islam merupakan aliran perdana yang menguasai alam pemikiran Islam pada jangka masa tersebut. Oleh itu, tesis pinggiran (the marginality thesis) yang menyatakan kelompok pendokong sains dan falsafah merupakan golongan yang tidak mendapat tempat dalam masyarakat tidak dapat diterima.

Usaha ke arah kesinambungan pembudayaan ilmu juga melibatkan peranan secara langsung oleh barisan ulama yang dipertanggungjawabkan untuk melaksana dan menjayakan tradisi murni ini. Kecemerlangan pencapaian mereka khususnya dalam menghasilkan karya agung melampaui keterbatasan yang ada. Karya yang dihasilkan meliputi pelbagai bidang pengetahuan dan tidak hanya terbatas kepada ilmu syariah sahaja. Kenyataan ini sekaligus menggambarkan bahawa sistem dan kurikulum pendidikan yang dilalui sebelum menjadi tokoh ulama berupaya mempengaruhi keperibadian mereka. Di samping itu, pengorbanan dan kesungguhan mereka serta kesan penghijrahan dalam usaha menimba ilmu pengetahuan juga turut menyumbang kepada memantapkan kewibawaan dan ketokohan mereka.

BAB 6 : RUMUSAN

Walaupun terdapat perbezaan dalam pengertian kurikulum dan ko-kurikulum, sifat umum yang terkandung dalam erti kurikulum lebih diutamakan. Kemunculan dan perkembangan aktiviti kehidupan manusia dari segenap aspek tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa institusi yang mendokongnya. Dalam usaha menjamin ilmu pengetahuan dan pendidikan ummah mencapai tahap kecemerlangannya, institusi pendidikan dianggap pola rantaian terpenting dan diberi keutamaan dalam Islam. Perkembangan dalam penyediaan institusi pengajian dalam tamadun Islam turut dipengaruhi oleh ajaran Islam yang mengambil berat terhadap kepentingan umum.

Menerusi perkembangan institusi pendidikan era kegemilangan tamadun Islam khasnya sekitar abad ke-3 hingga 5 H/9-11 M, sistem dan kurikulum yang mewarnai kecemerlangan pendidikannya membuktikan bahawa struktur dan tradisi pengajiannya lebih bersifat rabbani dan mengutamakan kesepaduan ilmu yang berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Di samping itu, pendidikan yang tidak terpisah daripada kehidupan jelas menggambarkan kecenderungan masyarakat ketika itu kepada peri pentingnya kehidupan beragama. Kepesatan perkembangan ilmu era tersebut juga menyaksikan berlakunya pembentukan sistem ilmu yang menggabungkan ilmu dari sumber wahyu (ilmu syariah) dengan ilmu dari sumber akal. Proses tersebut melibatkan beberapa faktor termasuk naungan politik beberapa kerajaan Islam, iaitu kerajaan Abbasiyyah di Baghdad, kerajaan Umawiyyah di Andalus, kerajaan Fātimiyyah di Mesir, dan kerajaan kecil berautonomi di Syria dan Afghanistan terhadap tradisi keilmuan. Selanjutnya, berlaku pula penyerapan dan penyaringan budaya ilmu asing ke dalam budaya ilmu Islam dan akhirnya usaha ini mendapat pelbagai reaksi yang kebanyakannya berupa kritikan dan tentangan.

Jika dilihat kuasa politik yang menaungi para failasuf dan saintis sehingga membolehkan golongan tersebut menguasai pelbagai bidang ilmu khasnya pada peringkat awal era kerajaan Abbasiyyah, naungan ini memperlihatkan seolah-olah wujudnya persamaan dengan usaha golongan sekular di Barat. Namun begitu, tiga pendekatan berikut jelas menyangkal dakwaan persamaan antara kedua-duanya:
(1) Usaha yang dilakukan bertujuan melahirkan sikap keterbukaan ulama dan cendekiawan Muslim terhadap budaya ilmu asing yang tidak bercanggah dengan prinsip ajaran Islam.
(2) Menganjurkan rancangan untuk menguasai bahasa asing yang bertujuan memindahkan budaya ilmu asing ke dalam budaya ilmu Islam dan memacu umat ke arah kemajuan.
(3) Menggiatkan usaha mengharmoni hubungan antara agama, falsafah, dan sains.