Fakulti Tamadun Islam, UTM Membantu Memartabatkan Pendidikan Islam Di Svay Khleang, Kemboja

 

FTI-SERPAMA

Fakulti Tamadun Islam (FTI) dengan kerjasama Persatuan Wanita Teknologi UTM (WANGI) Kuala Lumpur, Pertubuhan IKRAM Negeri Johor dan Yayasan Musa-Asiah (YASMA) telah mengadakan Program Pembangunan Pendidikan dan Khidmat Komuniti di Kampung Svay Khleang, Krauchmar, Thbaung Khmum, Kemboja pada 30 Oktober hingga 4 November 2016.  Program yang diketuai oleh Dr. Zulkiflee Haron ini tutut disertai oleh staf akademik dan pengurusan FTI Johor Bahru dan Kuala Lumpur, pimpinan  WANGI UTM KL, staf pejabat Bendahari dan juga peserta luar.  Objektif program ini antara lainnya untuk meningkatkan kualiti pendidikan komuniti Muslim Kemboja dan membudayakan amalan khidmat komuniti dalam kalangan staf FTI melalui perkongsian serta pemindahan ilmu dan kemahiran.

Pembangunan pendidikan tertumpu di Sekolah Rendah Integrasi Musa Asiah (SERPAMA) iaitu sekolah yang menawarkan sistem pendidikan bersepadu antara kurikulum pendidikan Islam Malaysia dan kurikulum kebangsaan Kemboja yang diasaskan oleh Prof. Madya Dr. Mohamad. Zain Musa, Pengerusi YASMA.  FTI dan YASMA turut menandatangani surat kerjasama sebagai tanda persetujuan  untuk menjalinkan koloborasi dalam bidang pendidikan Islam dan penyelidikan. Beberapa bengkel  telah diadakan khusus kepada tenaga pengajar sekolah tersebut iaitu  Bengkel Pembangunan Pengajaran yang dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Ajmain Safar, Bengkel Pengurusan Asas Koperasi Sekolah oleh Dr. Siti Suhaila Ihwani dan Bengkel Latihan Asas Terapi dan Rawatan Islam oleh Dr. Zulkiflee Haron di samping pembinaan perpustakaan mini SERPAMA.

Program ini turut memfokuskan kepada aspek penyelidikan bagi mengenalpasti permasalahan, isu-isu dan keperluan pendidikan serta sosiobudaya dalam komuniti Muslim Kemboja. Antaranya ialah kajian mengenai Kebolehan  Membaca al-Quran dalam kalangan Pelajar SERPAMA, Amalan Pengurusan Kesihatan dan Tradisi Perubatan, Peranan Wanita Islam Kemboja, Penghayatan Imarah Masjid dan Kajian Pemakanan Halal dalam kalangan masyarakat Svay Khleang.

Bagi tujuan penglibatan masyarakat setempat, program sambutan Ma’al-Hijrah dan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah turut diadakan buat julung-julung kalinya. Mereka turut diraikan dalam majlis akikah hasil sumbangan individu-individu dari Malaysia. Untuk menjana ekonomi wanita Islam Kemboja, WANGI UTM KL turut mengadakan dua siri bengkel Usahawan Wanita Desa yang disertai oleh beberapa orang kaum ibu yang berminat.

Program ini telah didanai oleh sumbangan dalam bentuk kewangan, pakaian dan alat tulis daripada pelbagai pihak sama ada dari NGO, syarikat-syarikat swasta, jemaah-jemaah beberapa masjid dan surau di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor serta orang perseorangan. Sumbangan tersebut disalurkan kepada projek pembangunan dan infrastruktur sekolah, infaq naskhah al-Quran, bekalan air bersih dan  peralatan solat.

Menyedari kepentingan pembangunan pendidikan untuk mengubah masyarakat Muslim Kemboja secara menyeluruh, usaha penglibatan komuniti seumpama ini wajar diteruskan di samping mengukuhkan hubungan antara dua komuniti Muslim daripada dua negara yang berkongsi citra ketamadunan yang sama.

 

Oleh: Akmaliza Abdullah, Zulkiflee Haron, Aminuddin Hehsan, Norhidayu Mohamad Zain