Perjanjian Kerjasama antara FTI dan KIM Singapore

PERJANJIAN KERJASAMA PROGRAM PASCASISWAZAH ANTARA UTM DAN KIM SINGAPURA

 

SINGAPURA, 7 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menjalinkan kerjasama dengan Kolej Islam Muhammadiyah Singapura (KIM), yang mana Fakulti Tamadun Islam akan menawarkan Program Sarjana Falsafah di KIM.

 

Kerjasama tersebut adalah bertujuan untuk meningkatkan kerjasama akademik antara FTI dan KIM dalam bentuk pengajaran & pembelajaran serta penyelidikan. Kerjasama program peringkat Sarjana yang telah disepakati bersama antara FTI dan KIM adalah dalam bentuk Program Sarjana serta penyeliaan penyelidikan. Program tersebut bakal dilaksanakan sepenuhnya di KIM Singapura kecuali pendaftaran, beberapa sesi penyeliaan, proses viva, dan konvokesyen yang akan diadakan di UTM.

 

Kerjasama ini secara langsung akan melonjakan ijazah UTM sebagai ijazah yang mempunyai permintaan tinggi dari kalangan calon-calon dinegara rantau dan dijangka akan dapat menaikkan imej UTM di peringkat antarabangsa.. Ia juga menggambarkan kerjasama yang mantap di antara UTM dengan universiti-universiti/institusi pengajian tinggi lain di dunia selaras dengan usaha untuk menjadikan UTM sebagai universiti terkemuka di dunia. Program seperti ini juga merupakan suatu langkah pengantarabangsaan UTM dalam rangka meningkatkan ranking UTM.

 

Pihak Fakulti Tamadun Islam telah mengadakan lawatan pemasaran ke Singapura pada Julai 2012. Pada awal Jun 2014, pihak KIM Singapura menghubungi FTI untuk mengadakan perbincangan tentang hubungan kerjasama antara KIM dengan FTI. Hasil perbincangan tersebut,  KIM dan FTI telah menyediakan draf kerjasama tersebut.

 

Rentetan dari itu, satu Perjanjian Kerjasama Program Pascasiswazah Antara UTM Dan KIM Singapura akan dimetrai antara UTM dan KIM pada hari Selasa, 7 Julai 2015 di Singapura.

 

Adalah diharapkan agar kerjasama dan program yang dilaksanakan secara kerjasama diantara UTM dan KIM akan dapat dijadikan sebagai suatu batu loncatan untuk kita merangka program-program Universiti yang lain dari segala bidang yang sedia ada yang dapat kita tawarkan ke calon pelajar Singapura pada masa hadapan.

 

Perjanjian ini ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UTM, Y.Bhg. Prof Dr. Rose Alinda binti Alias sebagai wakil UTM dan Prof. Madya Dr. Hussin bin Mutalib, (Pengerusi KIM ) sebagai wakil KIM.